Bukan Bakar Kaabah Tapi Lelaki Gila Bunuh Diri
MAKKAH – Pihak polis Arab Saudi mengesahkan seorang lelaki yang ditahan ketika menyalakan api di depan Kaabah di kompleks Masjidil Haram kemungkinan besar mahu membunuh diri sendiri.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa AFP, suspek warga Arab Saudi berusia lingkungan 40-an menyiramkan minyak tanah ke seluruh tubuh badannya dan bukan terhadap kiswah atau kelambu binaan bongkah batu tersebut.
“Dia menyiramkan cecair benzin ke atas tubuhnya dan cuba membakar dirinya sendiri. Perilakunya menunjukkan bahawa dia memang mengalami gangguan jiwa,” kata jurucakap polis Makkah, Mejar Sameh al-Salami pada Selasa.
Insiden tidak diduga itu berlaku pada 11 malam Isnin waktu tempatan (4 pagi Selasa waktu Malaysia) ketika ribuan jemaah sibuk melakukan umrah dan tawaf mengelilingi Kaabah yang menjadi kiblat umat Muslim seluruh dunia.
Sejumlah saksi menyatakan bahawa lelaki itu juga cuba membakar kiswah, kain sutera berwarna hitam dan emas yang menyelimuti Kaabah, namun dakwaan tersebut disangkal Sameh hasil siasatan awal dilakukan pihak polis.
Salah seorang saksi, Ghazi Darweesh yang juga rakyat Arab Saudi memberitahu portal berita tempatan Sabq bahawa dia sebelum itu mendengar suspek tersebut ada mengatakan sesuatu sebelum memulakan aksi nekadnya.
Kawalan keselamatan ketika itu amat ketat ekoran ratusan ribu umat Islam sering memenuhi kompleks Masjidil Haram selepas solat fardu Isyak untuk ibadah kerana cuaca tidak panas dan banyak masa sebelum azan Subuh.
Pada 20 November 1979, masjid terbesar di dunia itu pernah selama dua minggu diduduki lebih 400 anggota radikal Al-Ikhwan pimpinan Juhayman al-Oteibi yang mendakwa dirinya Imam Mahdi penyelamat dunia akhir zaman.
Mereka sempat menawan ratusan jemaah haji sebagai tebusan yang akhirnya memaksa kerajaan Arab Saudi bertindak mengerah pasukan khas untuk merebut kembali kompleks keagamaan itu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
0 comments:
Post a Comment